Sambutan Hari Hasil ke-25 telah berlangsung dengan jayanya dalam suasana norma baharu hari ini (1 Mac) di mana buat julung-julung kalinya sambutan ini dilakukan secara dalam talian.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan Malaysia dan YBhg. Dato' Sri Dr. Sabin Samitah, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) serta turut disaksikan oleh Hasilan dan orang ramai diseluruh negara.
Dalam ucapannya, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz mengucapkan tahniah kepada seluruh Hasilan kerana membuktikan komitmen yang tinggi dalam memastikan kutipan cukai tahun lalu sebanyak RM123.092 bilion dapat direalisasikan. LHDNM juga telah membuktikan kemampuannya sebagai organisasi berprestasi tinggi dengan mengadaptasi norma baharu dalam menjalankan operasi percukaiannya.
Beliau menambah pula bahawa banyak ruang yang boleh diterokai oleh LHDNM bagi meningkatkan lagi prestasi kutipan dengan memperluaskan jaringan pembayar cukai yang berpotensi dan mengenal pasti industri-industri serta sektor-sektor tertentu yang selama ini menjauhkan diri dari radar LHDNM.
Program sambutan yang disiarkan secara langsung ini boleh ditonton melalui pautan https://www.youtube.com/watch?v=b4RkFT8eQyk&t=24s. Program tersebut turut diserikan dengan pelancaran tiga produk baharu dalam usaha LHDNM untuk menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan dan meningkatkan kecekapan pengurusannya. Tiga produk tersebut adalah: Hasil identity, Hasil cloud System (HCS) dan Malaysia Income Tax Reporting System (MITRS).
Hasil Identity -- initiatif bagi meningkatkan keupayaan pengurusan keselamatan ICT LHDNM dari segi pengurusan identiti dan kawalan akses dengan bersandarkan infrastruktur Active Directory (AD) yang sedia ada serta memantapkan lagi fungsi pengurusan pengguna. Pengguna Hasil Identity hanya perlu menggunakan satu ID sahaja untuk akses kepada semua sistem dan aplikasi LHDNM.
Hasil Cloud System (HCS) -- merupakan awan dalaman untuk kegunaan perumah (hosting) sistem-sistem dan aplikasi LHDNM sekaligus meningkatkan kebolehupayaan LHDNM dalam merealisasikan infrastruktur pengkomputeran awan yang mapan seiring dengan perkembangan teknologi yang pantas.
Malaysia Income Tax Reporting System (MITRS) -- merupakan platform digital untuk mengalakkan pembayar cukai membuat penghantaran maklumat helaian kerja percukaian secara digital. Ianya juga dapat mengurangkan kos pematuhan kepada pembayar cukai dan menjimatkan masa penghantaran melalui platform digital yang disediakan.
Selaras dengan hasrat LHDNM untuk menghargai komitmen berterusan pembayar cukai dalam mempamerkan prestasi pematuhan yang tinggi, lapan pembayar cukai dari kategori syarikat korporat telah dipilih sebagai penerima Anugerah Pembayar Cukai Terbaik berdasarkan rekod percukaian mereka sepanjang tahun 2020.
LHDNM juga turut menganjurkan beberapa aktiviti menarik bersempena dengan sambutan tersebut. Antaranya adalah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) LHDNM berbentuk sumbangan peranti tablet kepada 93 pelajar B40 hasil kutipan daripada Hasilian, Hasil Virtual Run 2021, Anugerah Most Outstanding Hasilian Tahun 2020, Pertandingan Reka Cipta (corak tali leher, pin kolar dan klip tali leher), Pertandingan Reka Cipta “Tax Infographic”, Pertandingan Kuiz HASiL, Online Management Talk: “Aspirasi Pengurusan Atasan LHDNM”, Ceramah Perdana Maya, Pertandingan Mencipta Video “LHDNM Setelah 25 Tahun” dan Hasil Virtual Treasure Hunt 2021 yang melibatkan penyertaan daripada institusi-institusi pendidikan tinggi awam dan swasta serta agensi-agensi kerajaan.
Berikut adalah keputusan Hasil Virtual Treasure Hunt 2021 dan Anugerah Most Outstanding Hasilian Tahun 2020:-
Hasil Virtual Treasure Hunt 2021:
Juara: Bank Negara Malaysia
Naib Juara: BERNAMA
Ketiga: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
Most Outstanding Hasilian Tahun 2020:
1) Encik Harris Ahmad Rosli, Jabatan Percukaian Antarabangsa
2) Puan Arbasiah Ankong, Jabatan Teknologi Maklumat
3) Dr Rasyidah Che Rosli, Jabatan Operasi Cukai
4) Encik Iqbal Abdollah, Cawangan Siasatan Miri
5) Puan Norhayati Mat Nor, Cawangan Pembayar Cukai Besar.
Sumber: Kenyataan Media LHDNM
Comments